Selasa , November 21 2017
msen
Rumah > Senaman > Bagaimana Menjadikan Senaman Sebagai Rutin Harian?

Bagaimana Menjadikan Senaman Sebagai Rutin Harian?

Mengekalkan kecergasan adalah sesuatu yang penting dan mustahak demi kesihatan badan. Namun tidak ada jalan pendek untuk melakukannya melainkan secara berterusan. Namun, mengekalkan senaman adalah sukar dan amat mencabar bagi sesetengah individu.

Menyedari hakikat ini, pakar-pakar kecergasan telah mengkaji perkara ini dan telah mengenal pasti beberapa cara yang boleh dijadikan panduan dalam memupuk amalan bersenam dalam kehidupan seharian:

  • Minat – Lakukan senaman yang kita gemar. Tanpa minat, sesuatu perkara sukar untuk dikekalkan. Sesetengah individu tidak gemar bersenam tetapi mengisi masa lapang dengan aktiviti fizikal seperti mengemas rumah, berkebun atau bagi penganut agama Islam- beribadat dengan mendirikan mendirikan solat di tengah malam. Aktiviti seperti ini dikategorikan sebagai aktiviti fizikal berintensiti sederhana. Jika dilakukan secara berterusan, sekurang-kurangnya 30 minit setiap sesi, untuk tiga kali dalam seminggu, boleh memberi manafaat kepada kesihatan tubuh badan.
  • Kewajiban bersenam – Jadikan senaman sebagai satu keperluan dalam hidup anda, sama seperti keperluan asas lain seperti makan, minum, buang air dan bersembahyang.Masa tidak harus dijadikan satu alasan untuk tidak bersenam. Hakikatnya, masa memang cemburui kita. Senaman boleh dilakukan pada bila-bila masa. Anda bolehbersenam pada waktu malam iaitu selepas semua tugas harian selesai. Kaji semula jadual harian dan cari masa yang sesuai untuk bersenam.
  • Tetapkan matlamat – Tentukan matlatmat sebelum memulakan sesuatu program senaman. Matlamat yang jelas membolehkan kita merancang aktiviti dan menguruskan masa dengan lebih baik. Bahagikan matlamat kepada beberapa bahagian seperti matlamat jangka masa pendek (seperti mengurangkan berat sebanyak dua kilogram dalam tempoh tiga bulan) dan matlamat jangka masa panjang (seperti masih mampu berjalan kaki cepat (brisk walking) 3 hari seminggu walaupun telah berusia 60 tahun). Pastikan matlamat yang ditetapkan adalah bersesuaian dengan kemampuan diri kita.
  • Dapatkan sokongan – Sokongan serta dorongan daripada pasangan hidup, ahli keluarga, anak-anak dan rakan juga membantu mengekalkan senaman yang dilakukan terutama jika mereka mempunyai minat dan matlamat yang sama.
  • Berikan ganjaran – Sesekala beri ganjaran pada diri sendiri terutama sekali sekiranya berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan. Sebagai contoh, hadiahkan diri anda pakaian atau peralatan sukan yang baru bagi menguatkan semula semangat.
  • Tambahkan ilmu – Dapatkan maklumat terkini berkaitan dengan aktiviti fizikal yang anda gemari. Sebagai contoh, jika anda menggemari senamrobik, ketahui gerak tari atau lagu rancak terkini (contohnya gerak tari dan lagu Gangnam Style). Maklumat atau teknik terbaru ini akan menjadi pendorong dan menjadikan anda lebih teruja untuk melakukan senaman.
  • Usah putus asa – Nilai pencapaian anda dari masa ke semasa. Jika anda gagal mencapai matlamat yang ditetapkan, usah putus asa. Kaji semula matlamat yang ditetapkan serta pujuk diri anda dengan menyuntik kata semangat seperti ‘Sekurang-kurangnya saya telah berbuat sesuatu untuk mengekalkan kecergasan diri saya. Ini lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa. Saya akan terus berusaha!’.

Senaman boleh dipupuk sebagai sebahagian daripada rutin hidup anda. Lakukan senaman yang sederhana dan berterusan untuk mengekalkan kecergasan badan dan mengawal berat badan berbanding kaedah berlapar atau berdiet semata-mata kerana ‘jalan pintas’ seperti yang disebutkan ini boleh membahayakan kesihatan anda.

Rujukan:

  1. Soalan lazim fisiotherapist, perkhidmatan Tanya Pakar, portal MyHEALTH, 17.4.2007.
  2. http://www.infosihat.gov.my/infosihat/kchs/KCHS_1998/index.php
  3. http://www.mysihat.gov.my/V2/Promosi/images/stories/Modul_Program_Kesihatan_2011/Modul_Aktiviti_Fizikal_4.pdf
  4. http://splkk.water.gov.my/kesso/attachments/article/31/Modul%20Senaman_web.pdf

Baca juga

Berjalan Kaki

Pengenalan Berjalan kaki adalah satu aktiviti fizikal yang paling mudah dilakukan oleh seseorang individu.Ia bermula …